Al-Syahadatain (dua kalimah syahadah) adalah merupakan lafaz yang wajib
diketahui dan dii`tikadkan oleh setiap muslim. Ia juga merupakan lafaz
yang wajib diucapkan oleh orang-orang kafir bagi melambangkan keislaman
mereka.
Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.
Perhatian: Lafaz ashhadu (أشهد) yakni “aku bersaksi” mengandungi tiga makna serentak iaitu:
1. (أعلم) yakni “aku mengetahui”,
2. (أعتقد) yakni “aku mempercayai” dan
3. (أعترف) yakni “aku mengiktiraf”.
Inilah lafaz yang afdal dan paling sesuai bagi menjelaskan tuntutan
iman dan Islam. Ini kerana setiap sesuatu pengakuan hendaklah didahului
dengan kepercayaan, dan setiap kepercayaan pula hendaklah didahului
dengan pengetahuan atau ilmu. Jika tidak, maka pengakuan dan kepercayaan
itu adalah suatu pembohongan. Demikian juga jika seseorang itu tahu
tentang kebenaran Islam tetapi tidak mahu mempercayai atau tidak
mengakui kebenaran Islam, maka dia telah berdusta sebagaimana
orang-orang Yahudi yang telahpun mengetahui kebenaran Islam yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, bahkan mereka
mengenali baginda sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka
sendiri, namun disebabkan sikap degil dan bongkak mereka tidak mahu
memperakui akan kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda
sallallahu`alaihi wasallam.
Makna Kalimah Syahadah Pertama:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
“Aku mengetahui (dengan menuntut ilmu), aku beri`tiqad (mempercayai)
dengan hati tanpa dipaksa dan aku mengiktiraf (mengakui) dengan lidah
bahawa tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya melainkan Allah Yang
Maha Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal lagi Yang Sedia Ada, Yang
Maha Hidup lagi Yang Maha tidak berhajat kepada yang lain dan Yang Maha
Kekal lagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha
Mengetahui lagi Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang
dikehendaki-Nya, sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti berlaku dan sesuatu
yang tidak dikehendaki oleh-Nya pasti tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan
yang tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang
bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang
suci dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”.
Ringkasan
daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan (merujuk
kepada) 20 sifat bagi Allah ta`ala iaitu: al-Wujud (ada), al-Qidam
(sedia ada), al-Baqa’ (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith (bersalahan
dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada makhluk),
al-Wahdaniyyah (esa), al-Qudrah (berkuasa), al-Iradah (berhendak),
al-`Ilm (mengetahui), al-Hayah (hidup), al-Sama` (mendengar), al-Basar
(melihat) dan al-Kalam (berkata), Kaunuhu Qadiran (keadaan Allah ta`ala
yang berkuasa), Kaunuhu Muridan (keadaan Allah ta`ala yang berkehendak),
Kaunuhu `Aliman (keadaan Allah ta`ala yang mengetahui), Kaunuhu Hayyan
(keadaan Allah ta`ala yang hidup), Kaunuhu Sami`an (keadaan Allah ta`ala
yang mendengar), Kaunuhu Basiran (keadaan Allah ta`ala yang melihat),
Kaunuhu Mutakalliman (keadaan Allah ta`ala yang berkata-kata).
Makna Kalimah Syahadah Kedua:
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
“Aku mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa Muhammad ibn `Abdullah
ibn `Abd al-Muttalib ibn Hashim ibn `Abdu Manaf al-Qurashi
sallallahu`alaihi wasallam itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada
semua makhluk. Selanjutnya, diikuti dengan iktikad dan keyakinan bahawa
baginda telah diputerakan dan dibangkitkan sebagai seorang rasul
(pesuruh Allah) di bumi Mekah, berhijrah ke bumi Madinah dan disemadikan
di sana, baginda benar dalam semua perkara yang dikhabarkan dan
disampaikannya daripada Allah iaitu mencakupi perkara-perkara yang telah
berlaku, perkara-perkara yang akan berlaku dan perkara-perkara yang
berhubung dengan hukum syariat. Antara perkara yang dikhabarkan itu
ialah azab dan nikmat kubur, soalan dua malaikat Munkar dan Nakir,
kebangkitan dari alam barzakh, perhimpunan di Mahsyar, kiamat, hisab,
pahala, azab, neraca amalan, titian al-Sirat, neraka, kolam al-Hawd,
syafaat, syurga, melihat Allah dengan mata kepala pada hari Akhirat
tanpa kayfiyyat, tanpa bertempat dan ruang; iaitu tidak seperti makhluk
dilihat, keberkekalan hamba-hamba Allah di dalam syurga dan neraka,
keimanan dengan para malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan
qada` dan qadar Allah iaitu yang baik dan yang buruknya, dan
sesungguhnya baginda adalah penyudah segala nabi dan penghulu seluruh
keturunan Nabi Adam alaihissalam.
HUKUM MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA:
• Jika seruan asas Islam iaitu Dua Kalimah Syahadah sampai kepada
sesiapa yang mukallaf, maka wajib ke atasnya menganut agama Islam, tetap
dalam agama Islam dan beramal dengan syariat Islam.
• Untuk
menganut agama Islam, seseorang yang kafir wajib mengucap Dua Kalimah
Syahadah berserta dengan i`tiqad yang benar lagi utuh.
• Lafaz
Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan dengan lafaz yang dimulakan
dengan lafaz ashhadu (أشهد) untuk mengesahkan kemasukan seseorang ke
dalam agama Islam. Bahkan, ianya boleh dilafazkan dengan ungkapan lain
yang mempunyai makna yang sama dengannya meskipun bukan dalam bahasa
Arab.
• Kefardhuan melafazkan Dua Kalimah Syahadah ke atas
seluruh umat Islam kekal dalam setiap solat supaya solat menjadi sah
menurut mazhab al-Imam al-Syafi`e.
• Orang yang dilahirkan di
dalam Islam dan beri`tiqad dengan Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan
mengucap dua kalimah syahadah untuk menjadi orang Islam. Bahkan dia
sebenarnya sudah menjadi orang Islam kerana didikan dan asuhan yang
diterima olehnya adalah berdasarkan kepada aqidah yang sahih.
•
Menurut ulama dalam mazhab Maliki bahawa Dua Kalimah Syahadah wajib
diucapkan sekali seumur hidup ke atas setiap mukallaf setelah mencapai
usia baligh dengan niat fardhu. Ini adalah kerana mazhab mereka tidak
mewajibkan bacaan tahiyyat dalam solat, bahkan mereka hanya
menganggapnya sebagai sunat. Sedangkan menurut ulama dalam mazhab-mazhab
yang lain seperti ulama mazhab Syafi`e dan mazhab Hanbali, dua kalimah
syahadah adalah wajib dilafaz dalam setiap solat bagi memastikan solat
menjadi sah.
• Iman dan Islam seseorang itu tidak sah dan
segala amalan kebajikannya tidak diterima tanpa dua kalimah syahadah
yakni tanpa iman yang benar.
• Ucapan syahadah pertama wajib
diiringi dengan ucapan syahadah kedua bagi mengesahkan keislaman
seseorang yang mahu memeluk agama Islam. Itulah kadar minima untuk
selamat dari kekal abadi di dalam api neraka.
Oleh itu setiap
manusia wajib meyakini secara jazam (putus) tentang kewujudan Allah
ta`ala dan Allah ta`ala mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Seseorang
itu juga wajib juga beri`tiqad bahawa apa yang di bawa oleh Rasulullah
adalah benar belaka tanpa ada syak, zan dan waham.
الْجَزْمُ يُخْرَجُ مِنْهُ: الْشَكُّ, الْظَنُّ, الْوَهْمُ.
Al-Jazm dikeluarkan daripadanya : Syak (ragu-ragu), Zan (melebihi
percaya daripada tidak), Waham (melebihi ketidakpercayaan daripada
percaya).
مُوَافِقٌ لِلْحَقِّ يُخْرَجُ مِنْهُ: جَاهِلٌ بَاسِطٌ, جَاهِلٌ مُرَكَّبٌ
Selari dengan kebenaran dikeluarkan daripadanya: Jahil basit (tidak
mempunyai pengetahuan sama sekali), jahil murakkab (jahil yang tersusun
iaitu tidak sedar bahawa dirinya jahil)
عَنْ دَلِيْلٍ: أَيْ لَيْسَ تَقْلِيْدًا
Daripada dalil: tidak boleh bertaqlid.
Maksud taqlid iaitu orang yang mengikut tanpa belajar dan apabila
ditanya maka individu tersebut tidak dapat mengeluarkan dalil dalam
perkara yang berkaitan dengan akidah.
Ø Sekiranya seseorang itu
bertaqlid (mengikut) kepada orang yang tidak betul iaitu golongan yang
terkeluar dari landasan akidah yang sahih walau dengan jazam sekalipun
tetap dihukumkan sebagai tidak beriman.
Ø Sekiranya seseorang
itu berbertaqlid (mengikut) kepada orang yang beraqidah sahih iaitu yang
berada di atas landasan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Hukumnya
terbahagi kepada tiga:
1. Sekiranya dia bertaqlid (mengikut)
dengan jazam (putus), maka dia dikira beriman tetapi dihukum fasiq iaitu
berdosa walaupun beriman. Ini pendapat yang muktamad.
2. Tidak dikira beriman walau dia bertaqlid dengan jazam sekalipun. Ini pendapat yang dhaif.
3. Sekiranya dia bertaqlid tetapi tidak jazam, maka dirinya tidak
dikatakan sebagai beriman walaupun yang diikutinya itu adalah orang yang
sahih aqidahnya.
Kesimpulannya, syarat untuk mengenal Allah ada empat:
1. Tahu dengan belajar (talaqqi).
2. Yakin dengan keyakinan yang jazam (putus).
3. Berpegang dengan perkara yang sebenar iaitu Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.
4. Besertakan dalil iaitu dari al-Quran, al-Sunnah, Ijma` ulama` dan qias.
JazakAllah Khayr ( جزاك اللهُ خيراً)